MANFAAT TV TERESTRIAL DIGITAL

Manfaat untuk pengguna

Kualiti TV yang lebih baik

DTT menawarkan kualiti bunyi yang lebih baik dan gambar yang lebih jelas, terang dan tanpa gambar berbalam, bertindih (“ghosting”) atau gangguan. Tidak seperti satelit, DTT tidak akan terjejas oleh cuaca. Sama ada hujan atau panas, penonton dapat menonton siaran tanpa sebarang gangguan.

Lebih banyak pilihan

DTT boleh menampung lebih banyak saluran berbanding dengan perkhidmatan analog. Ia juga mampu menawarkan ciri-ciri tambahan lain seperti panduan program elektronik, sarikata pelbagai bahasa serta siaran TV berkualiti definisi tinggi (HDTV). Penonton akan menikmati lebih banyak saluran dan kemudahan tanpa perlu membayar yuran langganan. Selain daripada kos awal bagi mendapatkan dekoder yang juga dikenali sebagai set-top box (STB), pengguna hanya perlu membuat bayaran yang minima atau tiada bayaran langsung untuk menerima DTT.

Lebih ketersambungan

DTT menggunakan aerial UHF sedia ada dan tidak memerlukan apa-apa pemasangan kabel atau sebarang piring satelit. Siaran dapat diterima dengan cepat oleh penonton kerana ia disiarkan dari stesen transmisi UHF yang berdekatan melalui sambungan talian telefon yang sedia ada yang membuka laluan untuk interaktiviti.

Melalui panduan program elektronik (EPG), DTT menawarkan penonton akses untuk perkhidmatan televisyen interaktif seperti membeli-belah dari rumah (home shopping), e-perbankan, perkhidmatan e-kerajaan dan akses kepada perkhidmatan internet asas.

Dengan merapatkan jurang antara mereka yang mempunyai akses kepada teknologi dan mereka yang tiada, DTT akan menghubungkan kawasan luar bandar dan pedalaman dan membantu untuk merapatkan jurang digital untuk semua rakyat Malaysia.

Manfaat kepada penyiar

Lebih pilihan, lebih interaktiviti

Oleh kerana isyarat digital menggunakan spektrum yang sedikit dan adalah lebih efisyen daripada isyarat analog, DTT membolehkan penyiar menawarkan pelbagai saluran baru dan perkhidmatan interaktif.

Liputan juga boleh disesuaikan sama ada untuk siaran tempatan, serantau atau nasional tidak seperti satelit di mana adalah sukar untuk menghadkan liputan walaupun dalam negara-negara tertentu.

Peluang yang cerah untuk mengembangkan perniagaan

Melalui perkhidmatan yang lebih baik yang ditawarkan serta ciri-ciri interaktif, DTT menawarkan penyiar pelbagai peluang baru, bidang berpotensi untuk dibangunkan dan sumber pendapatan baru.

Pengurangan kos infrastruktur

Dengan DTT, kos perbelanjaan kapital dijangka akan dikurangkan kerana tiada keperluan untuk menyediakan kabel gentian sepaksi hibrid (hybrid fibre coaxial cables), menyewa transponder tambahan atau keperluan untuk melancarkan satelit baru.

Dengan pengurangan kos infrastruktur, penyiar dapat menumpukan sumber kewangan mereka untuk usaha penerbitan kandungan. Ini juga akan menggalakkan peserta baru untuk menceburi industri penyiaran termasuk pemilik saluran butik yang sedang mencari cara untuk mendekati dan berhubung dengan kumpulan penonton khas sasaran mereka.

Dengan penggunaan DVB – T2 oleh Malaysia, iaitu teknologi digital yang terkini dan paling maju di pasaran, penyiar juga akan dapat bersiaran melalui aset mudah alih seperti telefon bimbit, tablet dan aset bergerak seperti skrin televisyen di kereta api, bas dan kereta dalam fasa seterusnya.

Manfaat kepada negara

Merangsang pertumbuhan ekonomi, Peluang Pekerjaan

Dengan penghijrahan ke platform digital, spektrum yang bernilai adalah dibebaskan yang boleh diagihkan semula untuk perkhidmatan lain seperti jalur lebar mudah alih generasi akan datang dan teknologi tanpa wayar. DTT juga membantu dalam perkembangan ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan menawarkan pelbagai peluang kepada industri kandungan tempatan dan kreatif untuk maju lagi ke hadapan.

Share:
}