Latar Belakang Syarikat

MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) adalah pemegang lesen yang telah dianugerahkan oleh Kerajaan untuk mengendalikan infrastruktur dan kemudahan rangkaian bagi perkhidmatan TV Terestrial Digital atau Digital Terrestrial TV (DTT) di Malaysia, dalam merealisasikan penghijrahan penyiaran terrestrial analog ke digital ke seluruh negara.

Inisiatif ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia adalah badan yang mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek ini.

Melalui projek DTT ini, infrastruktur dan rangkaian kemudahan yang akan dibangunkan oleh MYTV adalah termasuk hab multimedia digital dan rangkaian pemancar digital TV berkuasa tinggi, sederhana dan rendah yang mampu menampung sehingga 39 definisi standard atau 13 definisi tinggi saluran TV digital di peringkat awal. Pada peringkat akhir migrasi ke digital, dijangkakan 75 peratus liputan untuk antena dalam rumah mudah alih dan 25 peratus antena di atas bumbung akan dicapai di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada proses migrasi DTT ini, sewaktu tempoh siaran serentak (simulcast) mencapai sehingga 98% liputan penduduk, iaitu tempoh di mana kedua-dua analog dan isyarat digital dipancarkan ke kediaman di seluruh Malaysia, MYTV adalah komited untuk menyediakan kapasiti saluran secara percuma kepada penyiar sedia ada dan Pembekal Kandungan, Aplikasi dan Perkhidmatan (CASPs). Dalam membawa DTT ke seluruh negara juga, MYTV akan menggunakan semua spektrum RF yang sedia ada dengan penggunaan 8 MUXs dan juga dengan pelaksanaan strategi “luar ke dalam” atau “outside-in”, di mana penumpuan awal adalah diberikan kepada kawasan luar bandar dalam memancarkan isyarat DTT.

Dalam memastikan bahawa DTT akan mencapai sekurang-kurangnya 98 peratus isi rumah di Malaysia menjelang 2016, MYTV juga komited untuk membekalkan secara percuma sebanyak dua juta Peralatan Premis Pelanggan atau Consumer Premise Equipment (CPE) yang terdiri dari satu dekoder, antena dan alat kawalan jauh kepada penerima yang layak, berdasarkan senarai yang disediakan oleh Kerajaan.

Teknologi DVB -T2 Lite juga akan digunakan sepenuhnya oleh MYTV untuk menguasai pasaran pengguna peralatan mudah alih menjelang tahun 2019.

MYTV tidak membangun atau membekalkan kandungan. Sumber pendapatan utama MYTV adalah dari perkhidmatan kapasiti saluran utama dan perkhidmatan yang ditambah baik (enhanced services) untuk CASPs/ASPs melalui perkhidmatan yang berteraskan 5 tunggak atau dikenali sebagai 5-Pillar Services (“5PS”). Perkhidmatan ini telah direka untuk menjana pendapatan bukan sahaja untuk MYTV, tetapi untuk pemilik saluran dan pihak media yang lain untuk mempunyai peluang sumber pendapatan yang baru dan tidak lagi perlu untuk bergantung semata-mata kepada kaedah pengiklanan tradisional.

Antara perkhidmatan 5Ps adalah Perkhidmatan TV (Pengiklanan EPG, Saluran TV Percuma, Aplikasi Butang Merah dll), Perkhidmatan Radio, Perkhidmatan Berkaitan Internet (seperti Tayangan Bebas Masa, TV Sesawang, Permintaan Video dll), Pekhidmatan Aplikasi dan Dagang (membeli-belah dari rumah, Khidmat Pesanan dll) dan Perkhidmatan Sampingan seperti antara lainnya Aplikasi e-Pembelajaran, TV Media Sosial, Undian dan Talian Hotline.

MYTV juga adalah ahli kepada National Digital Taskforce (NDTF) dan Broadcasters’ Alliance (BA), yang merupakan kumpulan yang dibentuk oleh penyiar saluran TV percuma di Malaysia bagi tujuan penghijrahan DTT. Di bawah BA, MYTV telah ditugaskan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai penghijrahan DTT, termasuklah dalam kerterlibatan pemimpin tempatan dan kerajaan.

Share:
}