INISIATIF CPE UNTUK INDUSTRI

"Syarikat yang menyertai program ini akan mendapat perlepasan cukai serta faedah dari sudut penjenamaan"

     Peralatan Premis Pelanggan atau Consumer Premise Equipment (CPE) adalah peralatan yang diperlukan untuk membolehkan sesebuah TV itu menerima dan menyahkod (decode) isyarat TV digital yang dipancarkan. Set CPE mengandungi satu dekoder, antena dalaman dan alat kawalan jauh. Sebagai sebahagian dari komitmen MYTV untuk memastikan DTT akan dapat dicapai sehingga 98 peratus daripada isi rumah di Malaysia pada 2016, sebanyak dua juta set CPE akan diagihkan di bawah satu pelan inisiatif industri untuk isi rumah berpendapatan rendah terpilih, terutamanya di kawasan luar bandar. Sebagai permulaan, perancangan ini melibatkan edaran dua juta set CPE kepada penerima yang layak, berdasarkan senarai yang disediakan oleh Kerajaan.

     Selain daripada dua juta set CPE percuma ini, MYTV juga akan memulakan satu program ‘Ke Arah Digital untuk Semua” untuk meningkatkan lagi tambahan jumlah set CPE percuma sebanyak empat juta lagi melalui inisiatif penajaan korporat demi memastikan kesinambungan jumlah keseluruhan isi rumah yang terlibat.Selain daripada merapatkan jurang antara mereka yang mempunyai akses kepada teknologi dengan mereka yang tiada, sektor korporat juga berpeluang untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar di negara ini. Lebih penting lagi, penaja korporat ini akan dapat menyumbang kepada transformasi digital negara dan memainkan peranan penting dalam mengubah kehidupan semua rakyat Malaysia melalui evolusi penyiaran yang sedang berlaku kini.

     Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian layak mendapat rebat cukai korporat, bersama-sama dengan manfaat yang boleh diukur berkaitan dengan jenama mereka. MYTV juga boleh mengubah suai pakej penajaan program selari dengan tanggungjawab korporat sosial yang berbeza bagi setiap syarikat. Sila hubungi kami sekiranya anda berminat untuk menjadi sebahagian daripada program ini atau memerlukan maklumat lanjut mengenai pakej penajaan yang ditawarkan.